Isnin, Oktober 19, 2009

CABARAN SEORANG PENULIS SKRIP

Benarlah... menjadi seorang penulis memerlukan jiwa yang tenang. Barangkali kerana jiwa yang tidak tenang menyebabkan idea datang tidak seperti sebelumnya. Garapan skrip aku tersekat-sekat, seperti air yang mengalir telah dihadang oleh bungkah-bungkah batu.

Lazimnya, di saat-saat seperti ini, aku akan menulis melalui alam bawah sedar aku. Aku mampu berada di depan komputer selama mana yang aku mahu. Tapi kali ini aku tetap tewas. Aku cuba mencari punca, cuba mengumpul kekuatan, tetapi aku makin kebuntuan.

Teringat ketika aku mula-mula menjadi wartawan pada tahun 1986. Seorang kawan, Ruhaidini Abd Kadir, wartawan majalah FANTASI yang baru bertugas sebumbung denganku memberitahu... penulis mesti tabah seperti seorang nelayan di tengah lautan luas bersama sebatang kail menunggu umpan dijamah ikan, seorang penulis mesti berani seperti seekor singa di belantara Afrika, seorang penulis mesti adil seperti hakim, mesti bijak seperti pendeta, sanggup menjadikan penjara sebagai rumah rehat dan tali gantung sebagai buaian.

Meskipun Ruhaidini bertugas di bawahku, amat muda pengalaman berbanding aku, tapi nasihatnya tetap menjadi pegangan aku. Sampai sekarang nasihat itu masih tersemat dalam mindaku. Ketika itu aku juga sedang buntu, buntu untuk mencari kisah demi kisah untuk tatapan pembaca. Berkat nasihatnya itu, aku terus berusaha, cuba menjadi yang terbaik dan akhirnya aku berjaya berjaya matlamat aku dalam bidang kewartawanan sebelum aku menjadi penulis skrip sepenuh masa pada tahun 1999.

Kata-kata kawan wartawan, menjadi penulis skrip tidak akan kaya... kata aku, itulah cabaran seorang penulis skrip untuk membuktikan kata-kata teman itu silap!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan