Rabu, Oktober 21, 2009

JALIN KEMESRAAN DI TERATAK MAHLIGAI

Oleh Suzan Ahmad



Naskhah Mazelan Manan berkisar mengenai dua pemuda dari latar belakang keluarga berbeza hidangan terbaru Eurofine DARUL Jannah, kediaman nan indah tersergam megah menyambut kedatangan wartawan B*Pop bersama jurugambar yang memenuhi jemputan Eurofine (M) Sdn Bhd, penerbit drama rantaian Teratak Mahligai. "Setakat ini penggambaran sudah berjalan 65 peratus, tinggal lagi 30 ke 45 peratus yang perlu disiapkan," jelas pengarah Zul R’ Shad sewaktu meluangkan masa untuk rehat seketika sebelum penggambaran disambung semula.



Sepanjang penggambaran bermula sejak 31 hari lalu, Kuala Lumpur dan Lumut, Perak menjadi antara lokasi pilihan termasuk sekitar Langat. Pemilihan lokasi menurut pengarah bersesuaian mengikut keperluan skrip dan latar cerita yang menggambarkan sebuah keluarga berada dan sebuah lagi keluarga yang kehidupannya bergantung pada hasil laut.


"Dari segi gerak kerja setakat ini kami tidak melalui sebarang masalah serius, cuma halangan paling sukar diramalkan ialah cuaca. Ketika penggambaran bermula sebulan lalu, petang saja hujan lebat jadi kami terpaksa menggantikan babak yang tergendala di waktu pagi keesokannya kerana cuaca baik," katanya yang dijangka akan memulakan pula musim ke dua Gelora Di Hati Sarah sebaik Teratak Mahligai selesai sepenuhnya.


Tambah pengarah yang cukup dikenali menerusi hasil sentuhannya seperti Sephia, Spa Q, telemovie Sirah, Syurga Di Mana dan Seberat Zarah, pemilihan barisan pelakon juga adalah elemen yang cukup kritikal baginya.


"Semua produksi tidak mahukan masalah apatah lagi yang berkait rapat dengan masalah disiplin pelakon. Jadi sebelum semuanya bermula saya akan duduk berbincang dengan penerbit dan pengarah produksi mengenai pemilihan pelakon yang berpotensi untuk menjayakan drama rantaian ini," jelasnya yang masih mengekalkan kerjasama dengan kru produksi yang sama sejak setahun lalu kerana prestasi cemerlang dan gerak kerja yang cekap.


Pergerakan penggambaran Teratak Mahligai juga lancar perjalanannya dengan bantuan keluarga Datuk Abdul Azis Salam dan isteri Datin Wan Nasmah Wan Harun yang bukan saja menaja kediamannya Darul Jannah atau Anugerah Villa sebagai lokasi penggambaran tetapi juga empat kereta mewah termasuk premis perniagaan milik mereka, Wisma Anugerah yang terletak di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.


"Kami merasa begitu terhutang budi dan bersyukur kerana keluarga Datuk Azis, pemilik Anugerah Group of Companies bermurah hati menaja kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan juga makanan. Malah Datuk dan keluarganya turut serta menjayakan Teratak Mahligai sebagai pelakon pembantu," tambah Zul begitu teruja dan bersemangat.


Naskhah Mazelan Manan yang berkisar mengenai dua pemuda dari latar belakang keluarga berbeza menjadi hidangan terbaru terbitan Eurofine. Drama rantaian 24 episod selama satu jam yang bakal disiarkan di TV2 ini bagaimanapun masih belum dapat dipastikan tarikh siaran.


Selain cuba menyelitkan kepincangan dalam kehidupan berkeluarga juga hidup bermasyarakat, Zul cuba menyelitkan elemen komedi yang tidak keterlaluan namun mampu membuat penonton ketawa dan tersenyum.


"Watak Nikmat (Zizan Nin) seorang pemuda dari keluarga berada yang cuba menyesuaikan diri sebagai nelayan mampu mencuit perasaan penonton. Dalam keadaan yang agak canggung dan kekok, anda boleh lihat bagaimana usaha Nikmat untuk menyesuaikan diri dan mengambil hati orang kampung dengan visi dan misinya yang jauh ke depan terutama untuk memajukan industri penangkapan ikan," katanya.


Dibintangi Zizan Nin, Nisha Dirr, Zarynn Min, Rahim Jailani, Sidek Hussain, Arash Mohamad, Dian P Ramlee, Nabila Huda, Zed Zaidi, Watie Elite, Normah Damanhuri, Fazilah Mansor, Azman Ahmad, Roslan Salleh Teratak Mahligai antara lain mengisahkan Nikmat (Zizan) dan Syukri (Zed Zaidi) dua pemuda berlainan latar keluarga mula akrab di ruangan blog.


Nikmat yang berjaya dalam perniagaan internet cuba menyelami hati anak nelayan yang berkelulusan tinggi (Syukri) tetapi terpaksa meneruskan kerjaya bapa sebagai nelayan atas desakan hidup. Plot dan naratif mula memuncak apabila Nikmat dan Syukri bersetuju untuk bertukar tempat. Nikmat menjadi nelayan manakala Syukri pula menerajui syarikat milik Nikmat, Uncang Emas dengan bayaran RM5000 sebulan.


Pengarah: Zul R'Shad
Pelakon: Zizan Nin, Nisha Dirr, Zarynn Min, Rahim Jailani, Sidek Hussain, Arash Mohamad, Dian P Ramlee, Nabila Huda, Zed Zaidi, Watie Elite, Normah Damanhuri, Fazilah Mansor, Azman Ahmad, Roslan Salleh
Skrip: Mazelan Manan
Genre: Drama
Jenis Drama: Drama Rantaian 24 episod (60 minit)
Lokasi: Kuala Lumpur, Langat dan Lumut Perak.
Mula tayang: 2009 (TV2).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan