Sabtu, Januari 16, 2010

NASIB PENULIS SKRIP - PART 2

Kesungguhan Maizura dan kawan-kawan untuk meleraikan kekusutan yang membelit kaum penulis skrip, sejujurnya amat mengharukan perasaan saya. Seingat saya, saya bersendirian melontar rasa tidak puas hati terhadap kerabat produser dan rumah produksi setiap kali berkesempatan bertemu dengan panel dan pegawai stesen televisyen, terutama ketika mesyuarat produksi. Persoalan mereka, kenapa saya hanya menulis untuk dua tiga rumah produksi sahaja?

Jawapan saya mudah, kerana saya senang bekerja dengan rumah produksi tersebut dan mereka tidak pernah memandang saya seperti sampah. Saya ada pendirian saya sendiri - skrip adalah asas kepada sesuatu penerbitan.

20 tahun dalam dunia penulisan skrip memberikan saya pengalaman paling mahal. Usah tipu saya berapa kos dan bajet kerana semua itu dalam pengetahuan saya. Usah tipu saya berapa stesen televisyen bayar kerana itu juga dalam pengetahuan saya. Tapi kenapa bayaran untuk penulis skrip seringkali dicincanglumat atas alasan stesen televisyen bayar murah dan kos penerbitan yang tinggi?

Tapi malangnya, jika kita menetap bayaran tertentu sesuai dengan hasil kerja kita, ada penulis lain yang mengenakan bayaran yang rendah hanya semata-mata untuk dapatkan kerja. Kenapa semua ini berlaku? Kerana kita tidak bersatu.

Lebih malang apabila seringkali kita dengar penulis skrip dikencing, rumah produksi tidak membayar skrip mereka walaupun penggambaran sudah selesai. Ada di antaranya drama yang dihasilkan itu sudah pun disiar oleh stesen televisyen. Kerana kita tidak tahu hak kita - SURAT IZIN TERBIT. Surat ini adalah penyelamat. Kalau penulis skrip berhati kotor, drama yang disiarkan tetapi skripnya belum dibayar, sementelahan pula kita tidak pernah melampirkan SURAT IZIN TERBIT untuk rumah produksi tersebut menerbitkan skrip tersebut, telefon saya stesen TV dan dakwa yang skrip kita diciplak dan diterbitkan tanpa izin. Insya-Allah, stesen TV akan kelam kabut.

JANGAN serahkan surat izin terbit selagi keseluruhan duit skrip tidak dilangsaikan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan