Khamis, September 30, 2010

ASAS PENULISAN SKRIP (CATATAN PERIBADI)

Assalamualaikum...

Sejak akhir-akhir ini, saya dapat merasakan satu kebangkitan baru angkatan penulis muda terutama dalam bidang penulisan skrip TV. Saya kagum dengan semangat mereka untuk sama-sama memeriahkan industri seni tanah air. Dan dalam waktu yang sama, saya tersentuh dengan semangat mereka yang ingin memperjuangkan nasib mereka dari terus dipermainkan oleh pihak penerbit (produser). Masalah yang sering dihadapi oleh mereka, terutama yang baru menulis skrip ialah penerbit tidak menghormati mereka, membayar karya mereka dengan harga tidak setimpal dan lebih malang lagi, bukan sahaja lambat membuat pembayaran skrip tetapi juga langsung tidak membayarnya.

Walhal, setelah skrip diterima dan penerbit atau lazimnya penerbit akan meminta pengarah untuk menilainya, bermakna penerbit telah menerima skrip tersebut. Justeru, tugasan penulis skrip telah tamat dan pembayaran perlu dibuat. Bagaimanapun saya hormati penerbit yang sanggup menawarkan bayaran pendahuluan sebelum sesebuah skrip dihasilkan walaupun penulis skrip tidak memintanya.

Dalam melayari laman sosial, ramai di antara penulis skrip, terutama yang baru menceburi bidang ini menghubungi saya dan meminta tunjuk ajar bagaimana hendak menghasilkan sebuah skrip. Dalam kesibukan tugasan saya sebagai penulis skrip sepenuh masa, tentunya saya tidak mampu untuk melayani semua pertanyaan. Jauh sekali bersikap sombong dan angkuh tetapi sejujurnya saya sendiri kurang dapat memberi masa kepada anak-anak saya sehinggakan saya seringkali meminta maaf daripada mereka kerana saya sering mencuri masa mereka dengan kesibukan saya.

Keperitan dan kepayahan penulis muda (bukan bermaksud saya penulis mapan) dalam mencari dan menimba ilmu, sesungguhnya amat menyentuh perasaan saya. Seawal melangkah ke dalam dunia penulisan pada tahun 1986, saya pernah melalui pengalaman pahit, pedih dan memilukan. Saya pernah dikritik hebat oleh Allahyarham Pak Sako yang ketika itu sering ke pejabat, yang selalu memuji penulis senior daripada saya iaitu Sharifah Abu Salem, Sri Diah dan Imlan Adabi. Saya pernah dicarut oleh Pak Samad ketika memberi kuliah yang dianjurkan oleh Kumpulan Karangraf kepada penulis-penulis baru seperti saya. Saya pernah menangis kerana susahnya hendak bertapak dalam dunia penulisan sedangkan ketika itu, ibu saya Hajah Dayang binti Ali sanggup menggadai gelang emasnya untuk memberi sebuah mesin taip olympia untuk saya (mesin taip itu saya simpan sehingga sekarang) demi melihat anaknya berjaya dalam bidang yang dipilihnya.

Bak kata Ketua Pengarang Kumpulan saya ketika itu, Saudara Kamal Amir (sekarang telah bergelar Datuk), penulis mesti TABAH bagaikan seorang nelayan dengan sebatang pancing di tengah lautan luas. Saya berpegang pada falsafah itu sehingga sekarang.

Semangat penulis baru yang menyarankan saya mengadakan kelas inisiatif penulisan asas skrip, saya kagumi dan saya hormati. Namun saya amat sibuk. Sejujurnya juga, saya tidak sampai hati untuk mengambil bayaran daripada mereka untuk membayar harga masa saya kerana saya tahu betapa pedihnya untuk mendapatkan sedikit ilmu ketika kita masih merangkak.

Justeru, atas dasar inilah, saya akan memulai blog saya dengan ASAS PENULISAN SKRIP. Insya-Allah, tulisan ini akan saya catatkan dalam beberapa siri - bermula apa itu skrip, bagaimana untuk mendapatkan idea, pengembangan idea, watak dan perwatakan, perkembangan watak, konflik, dialog, twist dan ending sebuah skrip. Pastinya saya tidak mampu mencatat kesemuanya dalam satu tulisan dan atas dasar inilah saya akan buat secara berperingkat.

Namun perlu saya ingatkan, tujuan saya bukan untuk mengajar kerana saya tidak pernah diiktirafkan sebagai guru melalui sekeping sijik dalam dunia penulisan skrip. Saya sekadar untuk berkongsi pengalaman. Bidang saya adalah kewartawan, bukannya penulisan kreatif. Perlu juga saya nyatakan, apa yang bakal saya tuliskan nanti adalah berdasar perkembangan industri hiburan tanah air terutama bagaimana hendak menghantar sesebuah karya atau skrip ke stesen TV. Justeru, terus terang saya katakan, saya tidak mahir dengan teori atau pun istilah, apa yang tahu saya, bagaimana untuk bertapak dalam industri penulisan skrip PADA MASA INI.

Insya-Allah, pada catatan akan datang, saya akan memulakan siri ini dengan APA ITU SKRIP? Doakan saya supaya diberi kudrat untuk meneruskan catatan ini.

Sekian.

3 ulasan:

  1. Trima kasih abg Lan kerana sudi berkongsi pengalaman. Insyaallah, pastinya banyak yang dapat membantu kami penulis baru untuk lebih mematangkan diri dalam bidang penulisan. Trima kasih skali lagi....

    BalasPadam
  2. terima kasih juga abang mazelan, seronok membaca entry kali ini. tersuntik rasa semangat tu dari pengalaman-pengalaman yang abang mazelan lalui sebelum ini.

    BalasPadam
  3. terima kasih abg mazelan. catatan sungguh meniup semangat. saya bercita-cita hendak memulakan langkah dalam bidang penulisan ni tak kira la skrip drama tv atau radio, mahupun menghantar artikel ke majalah atau menerbit buku sendiri. saya dah mula menulis sejak kecil lagi tapi sampai sekarang tak pernah dapat sokongan family terdekat. doakan saya. semoga kelahiran angkatan muda penulis2 ni dapat menjana hiburan yang lebih bermoral dan bermanfaat untuk kita semua. amin.

    BalasPadam