Isnin, September 27, 2010

PENERBIT HANCING

Assalamualaikum...
Membaca keluh kesan penulis skrip di laman sosial, sekali lagi mengajak saya memperkatakan tentang masalah dan dilema yang hangat diperkatakan - penerbit tidak menghargai hak penulis skrip dan nasib penulis skrip sering dikotakkatikkan oleh penerbit.

Penerbit seperti ini saya kategorikan sebagai PENERBIT HANCING. Perlu saya nyatakan, bukan semua. Ramai penerbit yang berurusan dengan saya, tidak sama sekali bertindak sedemikian, bahkan mereka saling menjaga hubungan di antara satu sama lain. Contohnya Rosyam Nor, walaupun saya sepatutnya berurusan dengan kakitangannya selepas persetujuan bersama diperolehi, namun beliau sendiri tetap menghubungi saya untuk bertanya khabar. Begitu juga dengan Ziela Jalil, Rozie Osman dan Azlan Ghazali (penerbit MDAG). Mereka begitu menghormati penulis skrip.

Kepada penerbit yang mengkotak-katikkan penulis skrip, perkara ini amat mengecewakan. Saya tidak bercakap sombong, penerbit perlu sedar permulaan pendapatan syarikat mereka bermula dari penulis skrip. Dengan enam ke sepuluh helai kertas cadangan dari penulis skrip untuk telemovie, mereka memperolehi job bernilai antara RM80 ribu ke RM108 ribu. Dan antara 15 hingga 20 helai kertas cadangan untuk drama bersiri 1 jam, mereka memperolehi job bernilai RM750 ribu ke RM960 ribu (jika untuk siaran RTM). Untuk drama bersiri setengah jam mereka memperolehi job bernilai RM500 hingga RM550 ribu.

Saya sengaja paparkan nilaian ini untuk pengetahuan penulis skrip agar mereka tidak mudah ditipu oleh penerbit.

Memang tidak dinafikan, penerbit akan mendakwa, tanpa mereka idea dan kertas konsep itu tidak akan ke mana. Saya nafikan perkara ini. Tanpa penulis skrip, penerbit tidak akan mendapat apa-apa pendapatan kepada syarikat mereka. Bayangkan dalam Malaysia terdapat lebih daripada 600 penerbit sedangkan penulis skrip yang aktif tidak sampai 20 orang. Justeru jangan percaya pada momokan penerbit kerana bayangkan 600 penerbit perlu bergantung kepada 20 orang penulis skrip.

Justeru, bukan menyokong mana-mana pihak, sebagai penulis skrip yang sudah lama berada di arena ini, saya amat bersimpati dengan nasib penulis skrip baru. Kenapa mereka dipermainkan seperti itu? Kenapa hak mereka dinafikan dan tidak dihormati? Bagaimana industri kita hendak maju jika masing-masing tidak menghormati di antara satu sama lain?

Saya tidak nafikan, ramai penerbit yang berada di bumi Malaysia ini tidak layak dipanggil penerbit. Ada yang langsung tidak tahu tentang skrip dan drama. Apa yang membimbangkan saya, golongan kapitalis ini telah melacurkan industri hiburan tanah air. Contohnya, mereka mendapat satu projek telemovie daripada mana-mana stesen TV. Mereka tidak terbitkan sendiri telemovie berkenaan tetapi `menswastakan' kepada mana-mana pengarah. Bayangkan jika stesen membeli telemovie tersebut dengan harga RM90 ribu, pastinya penerbit berkenaan hanya menswastakan (maaf kerana menggunakan perkataan menswastakan supaya enak sikit di dengar) sekitar RM60 ribu hingga RM70 ribu. Pastinya juga pengarah berkenaan selain dari mendapat bayaran pengarahan, dia juga memerlukan keuntungan daripada jumlah tersebut. Akhirnya kos sebauh telemovie akan berkurangan menjadi sekitar RM50 ribu hingga RM 60 ribu saja. Cara terbaik supaya pembikinan tersebut tidak terlebih bajet, maka penulis skrip yang menjadi mangsa.

Kepada penulis skrip, jangan berurusan dengan penerbit seperti itu. Berurusanlah dengan penebit yang benar-benar bergelar penerbit.

Sebagai bekas wartawan, rasa terkilan saya terhadap apa yang berlaku ke atas penulis skrip muda memang menyesakkan dada. Justeru, kepada penulis skrip yang takut untuk mendedahkan siapa penerbit hancing itu, jangan segan silu, beritahu saya. Biar saya yang bertanggungjawab mendedahkan nama mereka di laman sosial. Saya pasti, ramai penerbit yang melayari laman sosial.

3 ulasan:

  1. Sdra Mazelan, saya juga sudah jelak dgn isu penerbit hancing ini. Pengalaman sendiri 18 tahun lalu pernah tendang meja penerbit dlm mendapat bayaran skrip ketika menjelang hari raya aidil-fitri. Yang peliknya, apabila kita bertindak begitu, masa itu juga dia bayar cash duit skrip. Tapi tindakan itu telah memberikan implikasi yang buruk terhadap diri saya. Namun apakan daya bila keadaan sudah terdesak.

    Itu cerita 18 tahun lalu. Peristiwa terbaru terjadi lagi apabila penerbit muda belia hendak 'kencingkan' saya awal tahun ini. Sdra sendiri pernah jumpa saya bersama penerbit itu ketika di stesyen TV dulu.

    Kesimpulannya kita harus lebih berhati-hati pada penerbit sedemikian.

    BalasPadam
  2. Bro, thank you so much atas artikel yang lu tulis. Semangat!

    BalasPadam