Khamis, Mac 24, 2011

KENAPA PROPOSAL TIDAK DITERIMA?

ASSALAMUALAIKUM...
Ramai yang bertanya kepada saya, kenapa proposal mereka tidak diterima oleh stesen tv sedangkan mereka merasakan cerita yang mereka inginkan jadikan skrip begitu menarik sekali. Sebenarnya cerita itu menarik atau tidak terlalu subjektif. Kadangkala ia menarik kepada kita tetapi tidak semestinya menarik kepada penilai di stesen TV.

Sebagai contoh, tidak lama dulu saya telah menghasilkan proposal bertajuk TERSUNGKUR DI KAKI CINTA. Isunya mengenai kes pembuangan bayi. Saya hantar proposal tersebut kepada beberapa stesen tv tetapi tidak mendapat perhatian. Isunya hangat diperkatakan, kenapa ianya tidak mendapat perhatian? Saya tertanya, adakah stesen tv tidak prihatin sedangkan ketika itu saban hari tersiar di dada akhbar tentang kes pembuangan bayi.

Ketika itu saya mengambl sudut pandangan secara umum, mengenai kebebasan cinta remaja, membawa kepada kes mengandung tanpa nikah dan akhirnya mengambil keputusan untuk membuang bayi tersebut sebagai cara untuk menutup malu. Saya renung jalan cerita saya. Saya perasan ianya menarik dan sesuai dengan keadaan semasa. Bagaimanapun pengalaman saya sebagai wartawan, akhirnya membuka minda saya sendiri bahawa cerita yang saya anggap menarik itu adalah biasa dari sudut kewartawanan. Sepasanng remaja bebas bergaul, terlanjur, mengandung kemudian buang bayi yang dilahirkan untuk merahsiakan perkara tersebut dari pengetahuan umum. Dari sudut kewartawanan ia sebenarnya kisah biasa.

Dengan pengalaman sebagai wartawan, saya garapkan cerita tersebut dari sudut gadis yang menjadi mangsa. Dalam erti kata lain, pengakuan si mangsa. Bagaimana persekitaran menjadi fakor pendesak, bagaimana ketidaksediaan keluarga menyebabkan mangsa kehilangan arah, bagaimana kawan-kawan cuba membantu dan sekaligus menunjukkan cara penyelesaian sewajarnya kerana perkara telah berlaku dan apa yang perlu sekarang ini untuk menyelamatkan keadaan, bagaimana tanggungjawab keluarga lelaki dan bagaimana pula tanggungjawab lelaki? Kerana selama ini, yang sering dipandang serong adalah perempuan sedangkan sebagai `ibu' naluri keibuan tetap ada namun kenapa sanggup bayi itu dibuang? Saya selitkan eleman, wanita harus menjaga diri, manakala lelaki perlu menghormati wanita kerana sekurang-kurangnya wanita itu adalah orang yang melahirkannya.

Konsep baru saya bentangkan dan akhirnya diterima oleh RTM.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini, kadangkala cerita dan isu yang kita hendak ketengahkan memang menarik tetapi sudut pandangan kita yang menjadikan cerita itu biasa. Oleh itu, melihat sesuatu yang biasa itu melalui sudut pandangan luar biasa adalah PENTING dalam menghasilkan proposal. Saya bersyukur kerana pengalaman saya sebagai wartawan sejak tahun 1986 membolehkan saya melihat sesuatu itu dari pelbagai sudut.

TERSUNGKUR DI KAKI CINTA, RTM.
Moga menjadi pengajaran kepada anak-anakku dan anak-anak di luar sana. Kepada gadis remaja, belajar menghargai kesucian dan kepada remaja lelaki, belajarlah menghormati wanita.

1 ulasan: