Khamis, Mac 24, 2011

MENGHASILKAN SKRIP DRAMA TV

ASSALAMUALAIKUM...
Setiap kali diajak berkongsi pengalaman dengan penulis-penulis yang baru berjinak-jinak dengan skrip drama tv, saya selalu diasak dengan pertanyaan: Bagaimana nak tulis skrip? Dan berapa lama nak siapkan skrip?

Saya jawab: Tulis skrip mudah. Kalau saya, saya menaip bermula jam 10 malam, keesokkan harinya dalam jam 8 pagi skrip telemovie saya akan siap jika kesihatan mengizinkan. Itu tulis skrip. Tulis skrip umpama memasak. Kalau nak memasak, kena pergi pasar untuk mencari bahan. Hendak ke pasar, melibatkan perjalanan, terpaksa bersesak-sesak di pasar, memilih barang, tawar menawar harga barang. Balik ke rumah, sediakan barangan yang hendak di masak sebelum memulakan tugas memasak.

Dalam erti kata, mencari apa yang hendak ditulis itulah yang memerlukan masa. Setelah semua bahan-bahan yang diperlukan sudah ada, barulah mula menaip skrip. Ramai di antara penulis muda, bila ada idea akan terus menulis skrip, tidak hairanlah mereka akan tersesat di tengah jalan.

Cara saya mungkin pelik. Sebelum saya menulis skrip, saya mencari apa yang hendak diketengahkan. Apabila ada sesuatu itu yang saya rasa wajar diketengahkan, saya tidak mencari permulaan, plot atau sub-plot, tapi saya mencari akhir cerita terlebih dahulu. Bagaimana saya nak akhirkan drama saya. Selepas itu baru saya merangka perjalanan cerita atau plot yang menyimpang dari akhir cerita saya dan bagaimana pula twist yang akan membawa kepada pengakhiran cerita. Selepas itu barulah saya memikirkan bagaimana cara hendak membangunkan plot saya kepada kemuncak cerita dan bagaimana hendak dikaitkan dengan sub-plot.

Memang pelik, tapi apa salah cuba dan anda akan tahu sendiri.

Wassalam.

1 ulasan: