Jumaat, Oktober 01, 2010

ASAS PENULISAN SKRIP 2 (SKRIP DRAMA TV)

Assalamualaikum...
Bismillahirrahmanirrahim... Syukur dalam kesibukan menyiapkan skrip AKASIA, Tuhan masih memberi ruang masa untuk kita berkongsi pengalaman. Catatan lepas, kita membicarakan tentang PROPOSAL. Untuk menjual sesebuah skrip, asasnya adalah proposal, sebab itu saya tekankan pada awal Asas Penulisan Skrip adalah proposal.

Untuk menghasilkan sesebuah proposal, kita mestilah tahu program atau skrip apa yang hendak kita hasilkan. Dalam pasaran terkini, terdapat beberapa kategori skrip.
1. Filem
2. Drama TV/ Animasi
3. Drama Radio
4. Drama Pentas/ Drama Sebabak
5. Dokumentari
6. Dokudrama

Rata-rata mereka yang ingin berkongsi pengalaman bersama saya melalui laman sosial bertanya tentang penghasilan Drama TV sama ada telemovie, drama rantaian mahupun drama bersiri. Saya andainya semua sudah sedia maklum apa itu telemovie (drama on off/ tunggal, berdurasi 90 minit dengan slot 120 minit yang mencetuskan segala eleman drama dalam satu cerita), drama rantaian (naskah drama yang bersambung di antara satu episod ke satu episod dengan plot dan sub-plot serta pelakon utama dan pembantu adalah sama) dan drama bersiri (satu siri drama yang memperkatakan plot atau permasalah yang berbeza dalam setiap satu dan ada juga dijadikan dua episod dengan pelakon utamanya sama. Contoh Gerak Khas).

SKRIP DRAMA TV
Memandangkan keinginan ramai tertuju kepada penghasilan skrip drama TV, maka di sini pengkhususan saya kepada skrip drama TV. Kenapa kita menghasilkan sesebuah drama? Jawapannya untuk menyampaikan sesuatu cerita kepada khalayak ataupun audiens. Jika begitu, kenapa kita sampaikan sahaja cerita tersebut secara narrator seperti wayang kulit? Atau pun seorang penyampai berdiri di pentas menyampaikan cerita yang hendak disampaikan?

Menyampaikan cerita melalui medium drama TV mahupun filem adalah semata-mata untuk merangsang ataupun menarik perhatian audiens dengan gabungan pelbagai eleman seperti pengarahan yang bagus, skrip yang mantap, dialog yang berwibawa, plot yang pelbagai serta para pelakonnya yang diminati ramai. Justeru, kejayaan sesebuah drama bukan sahaja bergantung pada kekuatan skrip semata-mata tetapi menggabungkan semua eleman di atas.

Justeru, semasa menghasilkan proposal, lampirkan sekali cadangan pelakon yang diyakini dapat menjiwai watak yang kita ciptakan.

ILHAM
Apabila penerbit meminta proposal daripada penulis, saya kira semua penulis akan mula berfikir - cerita apa yang hendak ditulis? Kita akan mula mencari ilham/ idea. Inilah cabaran yang paling besar bagi penulis skrip untuk memastikan proposal yang dihantar ke stesen TV menarik. Rata-rata mahukan cerita mereka kuat dan mantap, lain dari yang lain.

Pada saya, semua asas cerita adalah sama. Yang membezakan adalah cara kita mengolah ataupun menyampaikan cerita tersebut dalam bentuk drama.

Teknik pengolahan cerita barangkali tidak boleh diajar kerana ia bergantung pada bakat. Ada penulis yang merasakan memberi tumpuan khusus pada watak adalah cara terbaik. Ada yang mengatakan plot dan sub-plot yang mantap adalah kekuatan cerita. Ada cerita yang bergerak melalui watak yang membawa cerita. Ada pula yang menggunakan cara cerita yang memperkenalkan watak. Bergantung pada anda!

Berbalik pada ilham, ramai yang bertanya bagaimana cara untuk mendapatkan ilham. Sebenarnya ilham ada di mana-mana, tidak perlu termenung di tepi pantai untuk mendapatkan ilham. Ilham boleh didapati dari:

1. PEMBACAAN
Banyak membaca memberi kelebihan kepada penulis untuk mencetuskan idea. Di sini saya beruntung kerana selama bertugas sebagai wartawan, saya banyak berdepan dengan keluhan, penderitaan dan pengalaman hidup masyarakat. Pengalaman mereka yang saya interview secara berdepan begitu membekas di hati saya. Sebagai contoh, kita membaca laporan akhbar tentang ayah sembelih anak, anak sanggup membunuh keluarganya sendiri. Kenapa? Adakah semuanya berkait dengan dadah? Masalah kejiwaan? Kenapa jadi seperti itu? Bagaimana latar kehidupan mereka?

2. KAJIAN
Ilham atau idea juga boleh didapati melalui kajian. Cerita seperti ini memerlukan belanja yang besar untuk merealisasikannya kerana ia berdasarkan kepada fakta-fakta yang sebenarnya. Contohnya drama rantaian ROSLI DHOBI yang disiarkan oleh ASTRO. Sebagai contoh, semasa tender dengan ASTRO baru-baru ini, saya terpaksa menjelajah ke Kapit, Sarawak hingga ke rumah panjang di kawasan paling pedalaman hanya untuk menyiapkan proposal tiga muka surat berkenaan dengan Temenggog Koh - pemimpin Iban yang berjaya melenyapkan tradisi POTONG KEPALA dalam masyarakat mereka.

3. PENGALAMAN PERIBADI
Pada saya, inilah sumber ilham yang paling dekat dengan kita. Tentunya banyak pengalaman pahit dan manis pernah kita lalui. Kenapa pengalaman itu tidak didramakan?

4. PENGAMATAN
Ilham juga boleh timbul melalui pengamatan kita. Contohnya, kita melihat ramai gadis-gadis terjebak dalam kancah sosial. Kenapa? Bagaimana sudahnya mereka? Apa perasaan mereka? Apakah mereka benar-benar jahil? Apa pula perasaan lelaki yang merosakkan mereka?

Itu hanya sebagai contoh bagaimana untuk mendapatkan ilham/ idea. Bagaimanapun pada saya, tanpa satu perasaan halus dan berseni dalam diri, kita tidak mampu untuk turut sama menyelami sesuatu itu. Kegagalan menyelami sesuatu itu mana mungkin kita hendak merasainya sekali gus menyampaikan kepada orang lain. Perasaan halus dan berseni itu adalah JIWA. Tanpa jiwa, cerita kita akan kosong dan hambar. M. Nasir berkayra melalui JIWA, sebab itu karyanya mudah melekat pada kita. S Amin Sahab menulis skrip dengan JIWA, justeru itu liriknya indah dan menarik, cuma kita yang gagal mentafsirkannya. Contohnya lirik KEPADAMU KEKASIH... AKU BERSERAH... Siapakah kekasih itu? Manusia? Ataupun Tuhan?

Ada pula yang bertanya, bagaimana hendak menyuntik JIWA ke dalam idea/ ilham dan karya kita.  Tidak dapat saya jawab kerana JIWA itu adalah ANUGERAH. (Sekadar renungan, dalam 99 nama Tuhan, Kenapa Rasulullah s.a.w mengutamakan tiga nama iaitu ALLAH, ARRAHMAN dan ARRAHIM? Lalu digabungkan menjadi Bismillahi Rahmani Rarrhimm. ALLAH Maha Memiliki Segalanya, ARRAHMAN Maha Pengasih setiap makhluk di dunia dan ARRAHIM Maha Penyayang setiap makhluk di akhirat. Untuk menghadirkan rasa kejiwaan yang halus agar kita mudah tersentuh (melalui rasa Arrahman dan Arrahim itu) dengan setiap gerak dan perlakuan di muka bumi ini ingatalah pada DIA selalu dan mohonlah daripada-Nya).

Berdasarkan pengalaman saya, PENGALAMAN PERIBADI disuntik dengan eleman PEMIKIRAN akan menghasilkan cerita yang kuat dan mantap. Saya pernah mengalami pengalaman paling pahit dalam hidup saya. Tidak malu saya katakan, hidup saya menjadi kosong, kelelakian saya tergadai apabila setiap malam air mata saya mengalir tanpa saya sedari... anak perempuan saya sekitar usia 12 tahun menangis berbantalkan paha kiri saya dan anak lelaki saya sekitar usia 10 tahun menangis berbantal paha kiri saya. Kami menangis bersama-sama.

Satu malam saya bangkit, saya cuba kumpul kekuatan diri. Saya berserah pada Allah s.w.t. Daripada Dia saya datang kepada DIA saya kembali. Setelah setahun saya tidak menghasilkan sebarang skrip, malam itu saya catatkan segala duka saya pada helaian kertas. Kemudian saya hantar ke RTM melalui syarikat penerbitan Perkasa Filem. RTM memutuskan saya menyiapkan 30 episod drama rantaian. Setelah ditayangkan sebanyak 15 episod, RTM meminta saya sambung lagi naskah tersebut sebanyak 26 episod.

Justeru, jangan sia-siakan pengalaman peribadi anda!

Persoalan seterusnya, bagaimana hendak kembang idea/ atau ilham. Insya-Allah, doakan saya sihat, akan sapa kongsi dalam catatan akan datang.

Wassalam.

3 ulasan:

  1. salam..saya amat tertarik dengan pengalamn yg pak cik kongsikan.. semoga sy menemui peluang menulis skrip seperti pak cik.

    BalasPadam
  2. Salam, jika saya pindahkan hasil tulisan novel saya ke dalam bentuk penulisan skrip drama, apakah yang perlu saya tambah baik? Mungkin encik ada sedikit nasihat untuk saya jadikan panduan...terima kasih...

    BalasPadam
  3. slm en mazlan... sy mmg brminat dlm bidang pnulisan..sy prnah hasilkn tulisan dlm bntuk cerpen uth majalah urtv suatu masa dulu dgn nama pena "mawarms" tp menyepi krn sibuk mnguruskn family tp skrg sy tringin sgt utk hasilkn sebuah drama tv..hrp en mazlan bleh bg sokongan..tq.

    BalasPadam