Selasa, Ogos 10, 2010

NASIB PENULIS SKRIP

Salam,
Dua bulan aku tinggalkan laman ini lantaran tuntutan tugas. Tapi tak bermakna aku tinggalkan terus perkembangan dunia penulisan skrip. Isu terbaru, ramai penulis skrip, pengarah dan juga krew mengadu kerana mereka nak kena tarik, rumah mereka tidak terbayar dan ada yang pening kepala untuk berdepan dengan hari saya. Job tak ada!

Memang dulu ramai yang cari makan dengan RTM. Tapi bila RTM tak ada budget, keputusan pitching dulu pun hanya keluar sekali dan sepatutnya ada lagi keputusan pitching kali kedua, ramai yang mengeluh. Inikah nasib mereka dalam industri kreative?

Jika keadaan ini berterusan, aku pasti ramai produser yang akan gulung tikar.

Ahad, Mei 02, 2010

SKRIP TAK BERNAMA

Terbaru, aku terbaca catatan MF Kencana tentang skrip yang ditulis dan diolah dari sinopsis serta idea orang lain. Dek kerana sinopsis dan idea asal kurang bernas, barangkali, beliau menggarap idea baru dan menulis skrip untuk sebuah rumah produksi. Bagaimanapun akhirnya, skrip yang ditulis beliau tidak diletakkan nama penulis. Dalam erti kata lain - SKRIP TIDAK BERNAMA.

Bukan sekadar beliau, saya pun kadangkala diminta untuk memantapkan lagi sesebuah sinopsis yang idea asalnya daripada penulis lain. Perkara seperti itu adalah lumrah, bagaimanapun sesuatu yang pelik apabila nama penulis skrip tidak disiarkan. Memang betul idea adalah milik penulis asal tetapi skrip tetap milik orang yang menulisnya. Terlalu sukarkah untuk meletakkan IDEA ASAL: sianu bin sianu dan PENULIS SKRIP: sianu bin sianu?

Insiden ini melambangkan betapa tidak peka dan tidak hormatnya rumah produksi terhadap penulis skrip sedangkan ketika meminta bantuan kita untuk memperbetulkan dan mengemaskan sinopsis asal, mereka sanggup merayu dan menelefon hingga dua tiga belas kali dalam satu hari. Apabila kehendak mereka terlaksana, mereka menjadi kurang ajar terhadap penulis skrip yang membantunya untuk mendapatkan projek dan sekaligus mendapat fulus!

Sepatutnya produser seperti ini harus diwar-warkan untuk dijadikan ingatan kepada penulis skrip lain supaya tidak bekerjasama dengan produser seperti itu.

Khamis, Mac 25, 2010

CATATAN BUAT SANG PRODUSER

Sang Produser... gelaran yang hebat dan gah dalam dunia seni hiburan tanah air.

Sejujurnya, aku kurang mengenalis penulis-penulis skrip muda. Sejak 30 tahun lalu, dunia aku hanya menulis. Bermula di usia 15 tahun, apabila sajak dan cerpen aku berjaya memenangi tempat pertama dalam satu pertandingan, aku terus menulis dan menulis sehinggalah berjaya menjadi seorang wartawan dan akhirnya mengambil keputusan untuk menjadi penulis skrip sepenuh masa sejak 15 tahun lalu.

Apabila menjadi penulis skrip sepenuh masa, aku mula mengenali dan mendekatkan diri dengan penulis-penulis muda walaupun ada di antaranya segan dan takut untuk menegur aku kerana sikap aku yang tegas dan muka aku yang garang. Tapi kata orang, walaupun mukaku macam neraka, tapi hatiku syurga. Iya ker?

Mendekati adik-adik penulis yang bercita-cita menjadikan penulisan skrip drama tv sebagai pencarian, terlalu banyak keluh dan duka yang berjaya kuselami. Semuanya berpunca dari Sang Produser! Masalahnya hampir sama, Sang Produser membayar skrip mereka dengan harga yang murah atas alasan mereka penulis baru.

Dalam bahasa aku, SANG PROSUDER TIDAK RETI NAK HARGAI TITIK PELUH ORANG.

Betul, tidak semua Sang Produser seperti itu. Tapi sepanjang pembabitan aku dalam penulisan skrip drama, hanya 5 peratus sahaja yang benar-benar layak digelar Sang Produser. 95 persen lagi hanyalah PECACAI yang merosakkan seni dan hiburan tanah air.

Memangnya ramai produser yang tidak sedar diri, angkuh dan sombong. Ayat-ayat "kalau saya tak terbitkan skrip awak, siapa yang nak terbitkan?". Aduhhh... mereka lupa, dalam Malaysia ada 600 rumah produksi tetapi cuma ada 60 orang penulis skrip. Mereka lupa, dengan lima muka kertas konsep yang dihasilkan oleh penulis skrip mereka dapat projek bernilai RM80 ribu hingga RM110 ribu. Mereka lupa  dengan 20 helai kertas konsep untuk drama bersiri mereka dapat projek bernilai RM700 ribu hingga RM1 juta.

Mereka lupa, yang mereka sebenarnya tidak ada apa-apa tanpa penulis skrip. Ramai produser yang tunjuk lagak, buat kertas konsep sendiri, pergi pitching dengan stesen TV tetapi akhirnya tergagap-gagap bercakap kerana mereka tidak tahu apa yang mereka hendak buat. Dan akhirnya menyembah cari penulis skrip untuk pergi pitching atau pun hasilkan skrip. Bila skrip siap, hidung mula mencanak ke langit.

Persoalannya, kenapa Sang Produser terlalu payah untuk membayar duit skrip? Kenapa tidak reti bahasa untuk menghormati penulis skrip?

Kepada adik-adik, Sang Produser seperti ini jangan dilayan. Biarlah dia dengan labunya. Percayalah, masih ramai yang tahu menghargai penulis skrip.

TIGA BULAN MEMENATKAN

Assalamualaikum...
Dah lama aku tidak menulis dalam blog walaupun keinginan terlonta-lonta. Namun masa tidak mengizinkan. Sejak Januari, tugasan begitu membebankan. Bermula dengan drama bersiri 25 episod x satu jam untuk EUROFINE, kemudian SAYANG CENDANA (20 episod x 1jam), telemovie MELANKOLIA untuk Aida Aris, CERITERA TENTANG LELAKI untuk Z&G Production, SUTERA SEBALIK WAJAH untuk Suhan Movies dan BUDAK KL untuk Media Space, kini aku mengambil kesempatan untuk berehat satu hari.

Dua lagi telemovie sedang menanti, DI PINTU BARZAKH untuk United Kadila dan SYAWAL TERINDAH untuk MDAG Marketing Sdn. Bhd serta satu siri 13 episod x 30 minit drama komedi romantik ABANG TEKSI untuk UNIT DRAMA RTM.

Tuhan, berikan akan kekuatan dan nafas untuk memenuhi tanggungjawab ini.

Ada tugas besar sedang menanti. Entah mengapa aku tertarik untuk adaptasikan novel penulis sedang mencipta nama, INDAH HAIRANI untuk kujadikan drama bersiri 40 episod x 1 jam. Novelnya yang berjudul HANYA SEBATAS INI, aku rasa ada kejujuran yang dilontarkan mengenai perasaan seorang wanita, isteri dan ibu yang terjebak dalam perasaan cinta, kasih dan sayang kepada lelaki lain. Barangkali kejujuran Indah meluahkan perasaan wanitanya menyebabkan aku rasa ada sesuatu yang perlu aku gali dan hayati tentang naluri, jiwa, keinginanan, harapan dan cinta kasih seorang seorang wanita.

Melalui watak Nur Qasih, seorang isteri dan ibu terjebak dalam perasaan rindu dan kasih kepada Dani Hamdani, seorang lelaki yang cuma dikenali melalui maya.

Tertanya juga aku, mampukan aku menjadi Nur Qasih? Jujurkan aku nanti melontar rasa, jiwa, kata dan rindu Qaseh kepada Hamdani?

Memang sudah lama aku cuba `hidup' di dalam keinginan seorang wanita yang sudah bersuami dan mempunyai anak serta keluarga bahagia tetapi boleh terbuai dalam cinta maya di zaman siber. Aku bertanya sendirian, seorang wanita yang begitu menjaga `kebahagiaannya' kenapa masih terjebak dalam perasaan-perasaan seperti itu? Apakah kerana jiwa wanita mudah tergoda? Adakah kerana pegangan sekarang yang menganggap seorang isteri menyintai lelaki bukan suaminya sebagai perkara biasa?

Insya-Allah, aku akan cuba menjadi Qaseh dan melontar dialog-dialog sejujurnya walaupun aku bukan seorang wanita.

Selasa, Februari 23, 2010

PERTEMUAN PENULIS SKRIP...

Assalamualaikum... Sebelum saya catat lebih panjang lagi, terlebih dahulu saya mohon maaf kerana melakukan provokasi di awal acara. Tujuan saya satu, setelah melihat masing-masing MALU dan TAKUT untuk bersuara, mana mungkin kita tahu apa permasalahan yang berlaku walaupun saya tahu masalah yang dihadapi oleh adik-adik, adalah masalah yang telah 20 tahun lalu saya lalui. Dalam erti kata lain, saya sudah LALI dengan masalah yang kalian hadapi.

Sekembalinya dari menghadiri perjumpaan PENULIS SKRIP MALAYSIA pada 21 Feb lalu di Wisma Bernama, saya cuba menggali apa kepentingannya? Apa kebaikkannya? Apa yang mereka dapat dari pertemuan ini? Apakah hanya sekadar basa-basi?

Sebenarnya saya bangga. Kalau dari dulu BERSATU, penerbit tidak akan KENCINGKAN kita. Justeru, pengajaran pertama yang kita dapati - BERSATU.

Ramai yang tidak tahu HAK sebagai penulis skrip. Terlaku TAKUT dan IKUT kehendak pengarah dan penerbit sedangkan kita akan HAK untuk mempertahankan skrip kita. Kita ada HAK mempertahankan HARGA skrip kita.

Berapa ramai yang mampu berfikir apabila Sdr Mansor memprovokasi kita bahawa harga skrip terpulang pada penulis skrip, berapa penulis skrip hendak letak harga dan juga sama ada penulis skrip hendak bagi percuma skrip mereka kepada sesiapa pun.

Maksud beliau, skrip dibeli dengan harga 2500, memang nilainya 2500. Jadi untuk apa kita persoalkan jika skrip itu ditulis dalam masa satu hari. Memang patut dibayar 2500. Tapi kita, apakah tergolong dalam golongan itu. Saya menegur Sdr Mansor, kenapa bercakap seperti itu, adik-adik tidak akan faham.

Ramai yang bertanya tentang harga skrip. Bergantung pada anda. Tapi pada saya, sebuah telemovie harganya 4000 - 5000, bersiri 1 jam, 1500 ke 2000 dan bersiri setengah jam 800 ke 1000. Pengalaman saya mungkin berbeza, sebuah tele 7000, bersiri satu jam 2500 dan bersiri setengah jam 1000 ke 1200. Mungkin perlu usaha untuk sampai ke tahap itu. Tapi ikhlas, saya juga pernah `mengambil' harga sebuah tele 3000 apabila saya mahu pengarah ikut skrip saya sepenuhnya dan penuhi permintaan saya untuk dapatkan pelakon yang saya inginkan. Kos pembinanan meningkat, saya kurangkan harga skrip janji saya puas hati dan akhirnya tele KAKI yang disiarkan oleh RTM dan dilakonkan oleh Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Elly Suriati dan suaminya mendapat markah tertinggi di RTM - 98%. Saya puas hati.

Tentang cable di stesen TV. Sejujurnya saya tidak ada. Saya juga dihentam oleh panel tetapi setiap apa yang dipertikaikan, saya pertahankan dan akhirnya mereka TAHU yang saya TAHU apa yang saya nak utarakan kepada penonton. Kesimpulan, kadang kala panel sengaja hendak menguji kita dengan pelbagai soalan. Apabila kita gagal menjawabnya, bagi panel kita TIDAK TAHU apa yang kita hendak buat.

Kepada adik-adik, saya bukanlah pandai dan terbaik dari yang terbaik, kerana ramai lagi yang terbaik, tetapi mungkin saya mendapat ruang dan peluang. Justeru, saya membuka ruang seluas-luasnya jika ada di antara adik-adik yang menyokong PENULIS SKRIP MALAYSIA untuk berkongsi pengalaman dengan saya. Wassalam.

Sabtu, Februari 20, 2010

PERTEMUAN PENULIS SKRIP...

Dari FINAS berpindah ke BERNAMA... tak per... itulah cabaran pertama... yang tak berani menghadapi cabaran saja yang jadikan ia sebagai alasan untuk membatalkan rancangannya untuk turut serta.

Sebetulnya... ikhlas... aku bosan untuk menghadiri pertemuan penulis... pada aku hanya sembang-sembang... borak-borak... kemudian gelak-gelak... dan balik. Begitulah... waktu jadi wartawan pun sama jugak. Sebab itu aku lebih suka bergerak sendirian.

Tapi entah mengapa... bila terbaca SMS yang dikirim oleh Shahanim (penulis skrip SURAYA - samarinda TV3), aku mula melayari blog Maizura... aku terpanggil untuk menyertainya... dan insya-Allah, kalau tidak mati dan ada aral melintang, aku akan sampai.

Entah mengapa... terbaca keluhan kawan-kawan, aku bagaikan melihat satu permasalahan yang amat besar dalam dunia penulisan.  Dah lama aku rasa penulis skrip dianggap sebagai sampah. Sebab itu tanpa sedar, aku tak mampu kawal perasaan, apabila seorang penerbit Cina yang merasakan dirinya hebat, cakap berdegar-degar ketika menunggu pitching di RTM, aku maki penerbit tu kaw-kaw! Bukan aku berlagak.. tidak.. nauzubillah... tapi pada aku, apa salahnya kau hormat penulis skrip? Penerbit kena ingat, dengan proposal penulis skrip yang setebal 10 muka, dia orang boleh dapat projek bernilai ratus ribu!!

Mengapa... nasib penulis skrip selalu macam tu?

Kepada kawan-kawan, kita teruskan perjuangan. Ingat, kita yang mengubah nasib kita!! Bukan sapa-sapa.

SAYANG CENDANA...

Skrip untuk teater lagenda? berkerut jugak dahi aku bila Ziela Jalil minta skrip untuk slot tersebut. Aku mana pernah buat skrip untuk cerita purba... tapi bila pergi pitching dengan TV3, lain jadinya... Cerita memang asas daripada cerita Patung Cendana, tapi disampaikan dalam bentuk komedi romantis.
Iya... kesetiaan sebuah cinta... manusia memang mencari cinta sejati... tapi tak semua berjaya. Kata teman dalam FB, cinta itu buta dan bisu. Pada aku memang betul... pengalaman aku, jika kita betul-betulkan cinta seseorang, terlalu sukar untuk kita melafazkan cinta padanya... kata orang, lidah terkelu... bila kita betul-betul cintakan seseorang... apa yang orang cakap selalunya kita tak nampak, kita nampak apa yang kita rasa betul saja pada orang yang kita cintai... itulah CINTA.

Sayang Cendana... Cendana yang mencari cinta akhirnya kecewa apabila lelaki yang dicintai kalah dengan dugaan nafsu... kesetiaan yang diberikan, kecurangan yang berlaku... cerita cinta biasa, tapi aku cuma jadikan satu kisah cinta romantis yang seronok tetapi akhirnya aku harap penonton akan tersentak kerana masih ada yang sanggup mempermainkan cinta sedangkan cinta itu satu anugerah Tuhan... Adam sehinggalah kepada Rasulullah s.a.w diutuskan, hanya semata-mata untuk mendidik manusia menghargai cinta dan kecintaan...!

SIRAH CINTA...

Lega... baru selesai siapkan skrip SIRAH CINTA, 25 episod x 1 jam untuk Eurofine. Skrip paling lama mengambil masa untuk disiapkan. Satu bulan. Baru nak rehatkan kepala, tapi Teater Lagenda SAYANG CENDANA sedang menunggu. Ziela telefon beritahu, 1 Mac nak shooting. Aduhh...

Dah lama tak layan anak-anak main layang-layang, pergi mancing dan makan-makan. Anak sulung aku, Marjan Hananie faham, apa-apa hal dia uruskan sendiri. Cuma minta aku hantar ke UiTM Puncak Alam. Amak kedua aku, Najmie Maziez yang sedang menunggu SPM terpaksa urus sendiri hal-hal bersangkutan dengan permohonan untuk IPTA. Anak ketiga aku, Aqalailie Eizzatie yang ada kat SM Sains Sultan Ahmad Shah kat Kuantan, sedih tengok aku hanya sempat bertanya khabar tak sampai setengah jam ketika singgah dalam perjalanan balik dari KL ke Kuala Terengganu. Anak keempat, Adhlan Imran dan yang bongsu, Alief Daniel asyik bertanya... abah, bila nak pergi mancing.

Belum lagi fikir enam tele yang sangkut masa pitching dengan RTm. Tiga baru siap. Tiga lagi baru siapkan treatment.

Kepada mereka... maafkan abah kamu...

Jumaat, Januari 29, 2010

KEPUTUSAN PITCHING

Dah tahu keputusan pitching RTM? Bertalu-talu aku terima panggilan telefon bertanya perkara yang sama. Jawab aku mudah - DAH. Jawapan pendek tapi memancing bicara kawan-kawan sampai berjela-jela. Berapa hantar? Berapa dapat? Syarikat mana? Drama bersiri atau tele? Kenapa aku tak dapat? Mampus, tak ada kerja kat RTM sampai bulan Jun!

Itulah antara persoalan yang datang. Kadangkala tersentuh mendengar rintihan kawan-kawan, hantar berbelas satu pun tak sangkut. Kenapa? Cerita tak bagus? Adakah ketika pitching penjelasan yang diberikan tidak jelas? Bayangkan, sepanjang enam bulan tak dapat cari makan dengan RTM. Inikah nasib penulis skrip?

Susah nak cakap. Pengalaman aku sendiri, kadangkala yang aku pitching berapi-api ataupun penuh emosi, tak sangkut pun. Cerita yang aku anggap biasa pulak boleh dapat.



Syukur... MELANKOLIA, DI PINTU BARZAKH, CINDAI, CERITERA TENTANG LELAKI, SYAWAL TERINDAH dan BUDAK KL berjaya menarik hati panel. Semuanya telemovie.

Teringat masa pitching MELANKOLIA bersama Aida Aris. Panel mencabar aku, sudah tiga hari beliau pitching tetapi tidak ada satu pun cerita yang boleh meremang bulu romanya. Aku pitching MELANKOLIA, penal mengakui "baru satu cerita yang boleh buat saya meremang bulu roma". Justeru aku yakin MELANKOLIA boleh sangkut. Apa istimewanya MELANKOLIA? Halusinasi seorang ibu yang kehilangan anak kesayangan. Aku selami hati ibu yang kehilangan anak sedalam-dalamnya sehinggakan si ibu curiga pada setiap perkara. Naskah ini akan mencabar pelakon, berlakon tanpa dialog. Segalanya dilontarkan melalui emosi tanpa suara.

Memang cerita di luar kotak. Tapi kosnya? Aku pasti Aida Aris akan terkasima. Untuk menghasilkan sebuah karya yang menarik, pasti kosnya tinggi.

Moralnya, penulis skrip Malaysia mampu menghasilkan karya yang bagus tetapi mampukan prodoser menggalas tanggungjawab ini jika awal-awal lagi bercakap tentang bajet?

 RM90 - RM100 ribu untuk harga sebuah tele. Stesen penyiaran perlu membuka minda. Sepuluh tahun dulu pun harga sama!


Sabtu, Januari 16, 2010

NASIB PENULIS SKRIP - PART 2

Kesungguhan Maizura dan kawan-kawan untuk meleraikan kekusutan yang membelit kaum penulis skrip, sejujurnya amat mengharukan perasaan saya. Seingat saya, saya bersendirian melontar rasa tidak puas hati terhadap kerabat produser dan rumah produksi setiap kali berkesempatan bertemu dengan panel dan pegawai stesen televisyen, terutama ketika mesyuarat produksi. Persoalan mereka, kenapa saya hanya menulis untuk dua tiga rumah produksi sahaja?

Jawapan saya mudah, kerana saya senang bekerja dengan rumah produksi tersebut dan mereka tidak pernah memandang saya seperti sampah. Saya ada pendirian saya sendiri - skrip adalah asas kepada sesuatu penerbitan.

20 tahun dalam dunia penulisan skrip memberikan saya pengalaman paling mahal. Usah tipu saya berapa kos dan bajet kerana semua itu dalam pengetahuan saya. Usah tipu saya berapa stesen televisyen bayar kerana itu juga dalam pengetahuan saya. Tapi kenapa bayaran untuk penulis skrip seringkali dicincanglumat atas alasan stesen televisyen bayar murah dan kos penerbitan yang tinggi?

Tapi malangnya, jika kita menetap bayaran tertentu sesuai dengan hasil kerja kita, ada penulis lain yang mengenakan bayaran yang rendah hanya semata-mata untuk dapatkan kerja. Kenapa semua ini berlaku? Kerana kita tidak bersatu.

Lebih malang apabila seringkali kita dengar penulis skrip dikencing, rumah produksi tidak membayar skrip mereka walaupun penggambaran sudah selesai. Ada di antaranya drama yang dihasilkan itu sudah pun disiar oleh stesen televisyen. Kerana kita tidak tahu hak kita - SURAT IZIN TERBIT. Surat ini adalah penyelamat. Kalau penulis skrip berhati kotor, drama yang disiarkan tetapi skripnya belum dibayar, sementelahan pula kita tidak pernah melampirkan SURAT IZIN TERBIT untuk rumah produksi tersebut menerbitkan skrip tersebut, telefon saya stesen TV dan dakwa yang skrip kita diciplak dan diterbitkan tanpa izin. Insya-Allah, stesen TV akan kelam kabut.

JANGAN serahkan surat izin terbit selagi keseluruhan duit skrip tidak dilangsaikan!

Khamis, Januari 14, 2010

NASIB PENULIS SKRIP

Membaca catatan Maizura Mohd Ederis dan mengenangkan kesungguhan Eizlan Yusof berusaha untuk membela nasib penulis skrip Malaysia, saya terpanggil untuk menyentuh perkara ini setelah sekian lama membisu di dada blog lantaran kehambatan tugas. Memang saya amat sensitif dengan `nasib penulis skrip'. Kenapa? Sepanjang 20 tahun menulis skrip, saya tidak pernah melihat penulis skrip dianggap tenaga penting dalam sesebuah penerbitan. Penulis skrip HANYA akan diperkatakan apabila sesebuah karya (sama ada skrip filem, drama tv, radio, dokumentari atau apa saja skrip) itu dianggap sampah. Maka ada timbullah ulasan, kritikan dan kutukan yang mengatakan skrip TIDAK BAGUS sebab itu hasilnya sampah. Seandainya sesebuah karya itu bagus dan mendapat pujian, nama PENGARAH, PENERBIT dan PELAKON yang melonjak naik tanpa sekelumitpun penghargaan kepada penulis skrip.

Saya bukan pejuang PENULIS SKRIP tetapi pendirian saya tetap mengatakan penulis skrip adalah asas terpenting dalam sesebuah karya. Umpama tiang pada sebuah rumah dan bagai iman dalam kehidupan beragama. Sepanjang 20 tahun, meskipun wujud persatuan penulis skrip, namun nasib itu tidak pernah berubah. Penulis skrip tetap dianggap pecacai! Barangkali keterlaluan. Cuba anda letak bayaran untuk harga sebuah proposal? Apa kata penerbit? Berapa ramai penulis skrip muda dikencing oleh penerbit yang 80 peratus penerbit di Malaysia saya anggap hancing?!

Itu belum lagi kita melihat penulis-penulis muda terutama perempuan yang dipermainkan! Yang harus menggadaikan maruah dan harga diri sekiranya mahu skrip mereka diterbitkan!

Saya bukan menganggap persatuan penulis skrip tidak penting! Pada saya penulis skrip perlu teguh dalam sebuah persatuan sekiranya mahu nasib mereka terbela. Tapi sejujurnya, saya bukan ahli SWAM. Bukan saya tidak menghargai kewujudan SWAM kerana saya adalah salah seorang penulis skrip yang turut hadir untuk menubuhkan persatuan ini ketika perbincangan secara tidak rasmi diadakan di Subang Jaya.

Ramai yang mempelawa saya menyertai SWAM. Saya berminat tetapi saya mempersoalkan apa SWAM boleh lakukan untuk memperjuangkan nasib penulis skrip sekiranya stesen televisyen tidak memberi kerjasama sepenuhnya kepada persatuan? Mereka gagal memberi jawapan pasti kepada saya, lantas saya nekad untuk bergerak sendiri selama 20 tahun.

SWAM tidak boleh membela nasib penulis skrip sekiranya stesen televisyen dan rumah produksi tidak pernah mengiktiraf SWAM. Mahu tidak mahu SWAM perlu diiktirafkan oleh stesen televisyen dan rumah produksi. Tanpa perkara ini, matlamat SWAM akan gagal!

Saya tidak tahu berapa ramai penulis skrip yang terlibat dalam perbincangan tertutup. tetapi kepada Maizura, Eizlan Yusof dan mereka yang teribat, saya terharu dengan semangat kalian. Teruskan usaha ke arah itu dan sebagai penulis skrip, saya akan menyokong kalian. Daftarkan saya sebagai salah seorang yang AKAN HADIR pada 21 Februari nanti, sebagai BUKAN AHLI SWAM.

Sekian.

Isnin, November 02, 2009

MENCARI PENULIS SKRIP...

Bermula 1 hingga 3 Nov, aku diminta untuk berkongsi pengalaman dengan siswazah yang ingin menerokai bidang penulisan skrip, khasnya mereka yang terbabit dalam menghasilkan animasi dalam rancangan ECER. Bertuahnya mereka, sudahlah diberi peluang untuk menimba ilmu, mereka turut diberi elaun sepanjang pembelajaran mereka. Agaknya inilah yang dikatakan keistimewaan anak kelahiran pasca merdeka.

Lebih dari 50 orang yang terbabit. Sasaranku hanya untuk mencari antara 3 atau 4 orang yang benar-benar berbakat, namun dalam masa tiga hari amat payah untuk aku mengatakan siapa yang berbakat atau boleh menulis skrip. Bagaimanapun jauh di sudut hati aku, semoga di antara mereka ada yang bakal mengganti aku sebagai penulis skrip drama TV kelahiran Terengganu.

DRAMA BERSIRI NIGINA...

BORAK LOKASI: Nigina papar kesumat dunia perniagaan
Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my


Bagaimanapun apabila pengarah melaungkan 'cut' dan 'action' suasana bertukar sepi. Pelakon dan pekerja belakang tadbir sibuk memainkan peranan masing-masing agar masa penggambaran berjalan mengikut dijadualkan.

Itulah suasana pertama ketika wartawan Harian Metro sampai ke lokasi penggambaran drama bersiri Nigina arahan Haris Kadir.

Ketika itu, Haris sibuk menyiapkan babak di mana Datuk Hambali lakonan Datuk Jalaluddin Hassan meninggal dunia akibat serangan jantung kerana ditipu dalam satu pelaburan yang menyebabkannya rugi besar dalam perniagaan.

Sejurus selesai, Haris menyiapkan pula babak seterusnya untuk dimuatkan dalam episod 25 yang memaparkan Datuk Suffian (lakonan Hafizzuddin) meninggal dunia.

Drama bersiri 25 episod itu mengisahkan percintaan antara Nigina (lakonan Emelda Rosmila ) dan Iskandar (Rosyam Nor) yang diselubungi pelbagai cabaran untuk merealisasikan hubungan mereka.

Pada masa sama, drama ini tidak hanya tertumpu pada kisah percintaan, malah menyentuh fenomena dunia perniagaan yang penuh dengan hasad dengki dan tamak untuk memiliki sesuatu menggunakan jalan kotor.

Mendengar saja sinopsis ceritanya, kedengaran Nigina seperti drama Melayu lain yang disiarkan sebelum ini. Namun, tegas Haris, Nigina mempunyai kelainan tersendiri berbanding drama Melayu sebelum ini yang akan membuat penonton lebih teruja untuk berfikir dan merungkai setiap misteri dalam jalan cerita itu.

"Kekuatan drama ini bukan saja tertumpu pada barisan pelakonnya, malah garapan ceritanya. Setiap babak dan peranan watak dalam Nigina bersangkut paut dari episod pertama hinggalah akhir.

"Malah, ada beberapa elemen kejutan yang kami terap dan tekankan dalam drama bersiri ini agar memberi kelainan berbanding drama Melayu lain.
"Penonton akan sama sekali terkejut dan tidak pernah menyangka perkara itu akan terjadi.

"Selain memberi hiburan, Nigina mengorak minda penonton untuk sentiasa ingin mengetahui kisah selanjutnya dan itulah yang kami tekankan dalam setiap babak agar penonton tidak bosan," katanya.

Menyentuh cabaran dihadapi, Haris berkata, penggambaran yang dimulakan ketika bulan Ramadan sedikit sebanyak menguji kesabarannya sebagai pengarah.

"Kami mulakan penggambaran ketika Ramadan, jadi faham-fahamlah keadaan ketika itu.

"Rasa cepat letih dan sebagainya memberi cabaran kepada kami untuk bekerja lebih kuat bagi mendapat hasil terbaik. Syukur, tiada masalah teruk berlaku kerana masing-masing komited beri kerjasama. Pelakon baru juga tidak ada masalah menjiwai watak," katanya.

Drama bersiri Nigina yang bakal menemui penonton di saluran TV3 menerusi slot Samarinda, Disember ini, mengisahkan hubungan Nigina dan Iskandar terputus akibat rancangan jahat Sofea (Melissa Maureen).
Semuanya bermula apabila Nigina merayu kepada bapanya, Datuk Hambali untuk mengambil Iskandar bekerja di Warisan Sdn Bhd sebagai pengurus projek.

Kehadiran Iskandar di syarikat itu menarik perhatian Sofea, anak Datuk Suffian.

Dalam masa yang sama, Datuk Suffian yang mempunyai 25 peratus saham dalam Warisan ingin menguasai keseluruhan saham Datuk Hambali dengan cara kotor.

Pelbagai rancangan dilakukan termasuk menggunakan Sofia agar mencapai matlamatnya.
Sofia pula berjaya berkahwin dengan Iskandar menggunakan taktik kotor kononnya dia hilang ingatan gara-gara dilanggar kereta yang dipandu Iskandar.
(HARIAN METRO 29/10/2009)

Drama: Nigina
Terbitan: Suhan Movies & Trading Sdn Bhd
Penerbit: Rosyam Nor/Runika Mohd Yusof
Penerbit Penyelaras: Norhaizan Onn
Penerbit Eksekutif: Julia Juhasu
Pengarah: Haris Kadir
Penolong Pengarah: Salwa Hassan
Pengurus Penerbitan: Rosli Adam
Penulis Skrip: Mazelan Manan
Propmaster: Hairuddin Abd Manaf
Propman: Faizal Azrin Muttalib
Konti: Tun Nurul Huda
Solekan: Khairul Kamaruddin Mat Noor
Jurukamera: Johardi Hassan
Juruaudio: Mohamad Khairul Anuar Shamsudin
Jurulampu: Mohd Firdaus
Bestboy: Saiful Izwan
Pelakon: Rosyam Nor, Melissa Maureen, Datuk Jalaluddin Hassan, Hafizzuddin, Aida Radzwill, Rosnah Johari, Norlia Ghani, Salina Saibi, Collan Khoo, Hung Shen dan Yus Waizer.
Siaran: TV3 (Slot Samarinda)

Sabtu, Oktober 31, 2009

ALHAMDULILLAH...

Alhamdulillah...
Akhirnya aku berjaya siapkan skrip DI SEBALIK TIRAI BESI... skrip yang paling mencabar bagiku untuk disiapkan. Skrip yang paling banyak mengalirkan air mata isteriku kerana terpaksa menjadi tempat aku melepaskan kebuntuan lantaran kebuntuan untuk menyiapkan skrip tersebut. Memang setiap kali aku siapkan skrip terutama drama bersiri, kami akan bergaduh dan bertengkar dalam mencari perkembangan plot dan sub-plot yang terbaik. Namun DI SEBALIK TIRAI BESI benar-benar mencabar kami berdua.

Isteriku,
Maafkan aku. Sesungguhnya kau isteri yang setia, yang tabah mendepani kerenah seorang suami seperti aku... kau juga seorang guru yang tidak pernah jemu menegur kesilapan aku dalam berkarya. Moga Allah S.W.T menjadikan haruman di syurga.

Kini, aku akan berdepan dengan dengan tugasan baru... menyiapkan drama bersiri 24 episod x 60 minit, SIRAH CINTA yang akan diterbitkan oleh Eurofine Sdn Bhd. Tuhan, berikan aku kekuatan untuk menarikan jemari di papan kekunci dalam menzahirkan apa yang ENGKAU berikan kepadaku - AMIN.

Rabu, Oktober 21, 2009

JALIN KEMESRAAN DI TERATAK MAHLIGAI

Oleh Suzan Ahmad



Naskhah Mazelan Manan berkisar mengenai dua pemuda dari latar belakang keluarga berbeza hidangan terbaru Eurofine DARUL Jannah, kediaman nan indah tersergam megah menyambut kedatangan wartawan B*Pop bersama jurugambar yang memenuhi jemputan Eurofine (M) Sdn Bhd, penerbit drama rantaian Teratak Mahligai. "Setakat ini penggambaran sudah berjalan 65 peratus, tinggal lagi 30 ke 45 peratus yang perlu disiapkan," jelas pengarah Zul R’ Shad sewaktu meluangkan masa untuk rehat seketika sebelum penggambaran disambung semula.



Sepanjang penggambaran bermula sejak 31 hari lalu, Kuala Lumpur dan Lumut, Perak menjadi antara lokasi pilihan termasuk sekitar Langat. Pemilihan lokasi menurut pengarah bersesuaian mengikut keperluan skrip dan latar cerita yang menggambarkan sebuah keluarga berada dan sebuah lagi keluarga yang kehidupannya bergantung pada hasil laut.


"Dari segi gerak kerja setakat ini kami tidak melalui sebarang masalah serius, cuma halangan paling sukar diramalkan ialah cuaca. Ketika penggambaran bermula sebulan lalu, petang saja hujan lebat jadi kami terpaksa menggantikan babak yang tergendala di waktu pagi keesokannya kerana cuaca baik," katanya yang dijangka akan memulakan pula musim ke dua Gelora Di Hati Sarah sebaik Teratak Mahligai selesai sepenuhnya.


Tambah pengarah yang cukup dikenali menerusi hasil sentuhannya seperti Sephia, Spa Q, telemovie Sirah, Syurga Di Mana dan Seberat Zarah, pemilihan barisan pelakon juga adalah elemen yang cukup kritikal baginya.


"Semua produksi tidak mahukan masalah apatah lagi yang berkait rapat dengan masalah disiplin pelakon. Jadi sebelum semuanya bermula saya akan duduk berbincang dengan penerbit dan pengarah produksi mengenai pemilihan pelakon yang berpotensi untuk menjayakan drama rantaian ini," jelasnya yang masih mengekalkan kerjasama dengan kru produksi yang sama sejak setahun lalu kerana prestasi cemerlang dan gerak kerja yang cekap.


Pergerakan penggambaran Teratak Mahligai juga lancar perjalanannya dengan bantuan keluarga Datuk Abdul Azis Salam dan isteri Datin Wan Nasmah Wan Harun yang bukan saja menaja kediamannya Darul Jannah atau Anugerah Villa sebagai lokasi penggambaran tetapi juga empat kereta mewah termasuk premis perniagaan milik mereka, Wisma Anugerah yang terletak di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.


"Kami merasa begitu terhutang budi dan bersyukur kerana keluarga Datuk Azis, pemilik Anugerah Group of Companies bermurah hati menaja kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan juga makanan. Malah Datuk dan keluarganya turut serta menjayakan Teratak Mahligai sebagai pelakon pembantu," tambah Zul begitu teruja dan bersemangat.


Naskhah Mazelan Manan yang berkisar mengenai dua pemuda dari latar belakang keluarga berbeza menjadi hidangan terbaru terbitan Eurofine. Drama rantaian 24 episod selama satu jam yang bakal disiarkan di TV2 ini bagaimanapun masih belum dapat dipastikan tarikh siaran.


Selain cuba menyelitkan kepincangan dalam kehidupan berkeluarga juga hidup bermasyarakat, Zul cuba menyelitkan elemen komedi yang tidak keterlaluan namun mampu membuat penonton ketawa dan tersenyum.


"Watak Nikmat (Zizan Nin) seorang pemuda dari keluarga berada yang cuba menyesuaikan diri sebagai nelayan mampu mencuit perasaan penonton. Dalam keadaan yang agak canggung dan kekok, anda boleh lihat bagaimana usaha Nikmat untuk menyesuaikan diri dan mengambil hati orang kampung dengan visi dan misinya yang jauh ke depan terutama untuk memajukan industri penangkapan ikan," katanya.


Dibintangi Zizan Nin, Nisha Dirr, Zarynn Min, Rahim Jailani, Sidek Hussain, Arash Mohamad, Dian P Ramlee, Nabila Huda, Zed Zaidi, Watie Elite, Normah Damanhuri, Fazilah Mansor, Azman Ahmad, Roslan Salleh Teratak Mahligai antara lain mengisahkan Nikmat (Zizan) dan Syukri (Zed Zaidi) dua pemuda berlainan latar keluarga mula akrab di ruangan blog.


Nikmat yang berjaya dalam perniagaan internet cuba menyelami hati anak nelayan yang berkelulusan tinggi (Syukri) tetapi terpaksa meneruskan kerjaya bapa sebagai nelayan atas desakan hidup. Plot dan naratif mula memuncak apabila Nikmat dan Syukri bersetuju untuk bertukar tempat. Nikmat menjadi nelayan manakala Syukri pula menerajui syarikat milik Nikmat, Uncang Emas dengan bayaran RM5000 sebulan.


Pengarah: Zul R'Shad
Pelakon: Zizan Nin, Nisha Dirr, Zarynn Min, Rahim Jailani, Sidek Hussain, Arash Mohamad, Dian P Ramlee, Nabila Huda, Zed Zaidi, Watie Elite, Normah Damanhuri, Fazilah Mansor, Azman Ahmad, Roslan Salleh
Skrip: Mazelan Manan
Genre: Drama
Jenis Drama: Drama Rantaian 24 episod (60 minit)
Lokasi: Kuala Lumpur, Langat dan Lumut Perak.
Mula tayang: 2009 (TV2).

Isnin, Oktober 19, 2009

BUAT ISTERIKU...

Andai malam milikku... ingin kugenggam jemarimu biar kau rasa aku dan engkau adalah satu... ingin kurenung bundar matamu biar segala rahsia tersimpan akan tersingkap... ingin kuhimpun harum rambutmu agar seluruh hidupku mewangi... inginku bisikkan hanya kau yang satu tersemat di hati ini... namun apakah daya, malam-malam yang aku lewati sekarang terlalu menghambat... maafkan aku!

CABARAN SEORANG PENULIS SKRIP

Benarlah... menjadi seorang penulis memerlukan jiwa yang tenang. Barangkali kerana jiwa yang tidak tenang menyebabkan idea datang tidak seperti sebelumnya. Garapan skrip aku tersekat-sekat, seperti air yang mengalir telah dihadang oleh bungkah-bungkah batu.

Lazimnya, di saat-saat seperti ini, aku akan menulis melalui alam bawah sedar aku. Aku mampu berada di depan komputer selama mana yang aku mahu. Tapi kali ini aku tetap tewas. Aku cuba mencari punca, cuba mengumpul kekuatan, tetapi aku makin kebuntuan.

Teringat ketika aku mula-mula menjadi wartawan pada tahun 1986. Seorang kawan, Ruhaidini Abd Kadir, wartawan majalah FANTASI yang baru bertugas sebumbung denganku memberitahu... penulis mesti tabah seperti seorang nelayan di tengah lautan luas bersama sebatang kail menunggu umpan dijamah ikan, seorang penulis mesti berani seperti seekor singa di belantara Afrika, seorang penulis mesti adil seperti hakim, mesti bijak seperti pendeta, sanggup menjadikan penjara sebagai rumah rehat dan tali gantung sebagai buaian.

Meskipun Ruhaidini bertugas di bawahku, amat muda pengalaman berbanding aku, tapi nasihatnya tetap menjadi pegangan aku. Sampai sekarang nasihat itu masih tersemat dalam mindaku. Ketika itu aku juga sedang buntu, buntu untuk mencari kisah demi kisah untuk tatapan pembaca. Berkat nasihatnya itu, aku terus berusaha, cuba menjadi yang terbaik dan akhirnya aku berjaya berjaya matlamat aku dalam bidang kewartawanan sebelum aku menjadi penulis skrip sepenuh masa pada tahun 1999.

Kata-kata kawan wartawan, menjadi penulis skrip tidak akan kaya... kata aku, itulah cabaran seorang penulis skrip untuk membuktikan kata-kata teman itu silap!

TAHNIAH ZABIDI...

Tahniah Zabidi... memenangi skrip terbaik dalam Anugerah Media Islam 2009. Zabidi memang seorang penulis skrip drama yang baik dan matang. Karyanya tajam.

Dua hari aku tidak mencatat apa-apa pada dinding ini. Kesibukan amat mengejar aku. Menghasilkan skrip Di Sebalik Tirai Besi memang menuntut masa yang banyak... kadangkala aku jadi buntu kerana berada di persimpangan di antara kebebasan berkarya dengan dasar Jabatan Penjara. Namun Alhamdulillah... sehingga semalam aku mampu siapkan 5 episod. Masih berbaki 8 episod. Minggu ini akan aku siapkan sepenuhnya.

Khamis, Oktober 15, 2009

TIRAI BESI... CATATAN 2

Hari ini... sepanjang hari aku terpaku di depan komputer. Rupanya terlalu sukar untuk menyusut babak demi babak untuk sebuah drama bersiri berdasarkan kenyataan dan hakikat yang berlaku di sebalik tembok penjara. Karyaku tidak sebebas mana kerana terpaksa akur dengan dasar-dasar yang ditetapkan. Ini cabaran bagi penulis seperti aku.

Kebebasan berkarya? Memang itu yang diharapkan oleh setiap individu. Tapi sebagai bekas wartawan, aku perlu juga berfikir tentang tanggungjawab sosial dalam penulisan. Bebas ada had dan batasnya. Bebas tidak bermakna merungkai segala-galanya sehingga boleh mencetus rasa tidak senang pelbagai pihak. Namun insya-Allah, aku akan cuba serapat mungkin dengan garis panduan yang telah ditetapkan.
Siap episod pertama, aku meminta komen dari penerbit. Komennya menyentuh perasan aku apabila dia beranggapan aku menggarap cerita itu secara tergesa-gesa. Anggapannya silap besar. Dua bulan aku terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah untuk menggarap DI SEBALIK TIRAI BESI. Hampir setiap hari aku `bergaduh' dengan isteriku dalam mencari plot dan menyusun plot yang terbaik. Sudah dua kali aku garapkan naskah hingga dari episod pertama hingga episod ke lima, namun terpaksa aku DELETE kerana aku sendiri tidak puas hati. Beberapa kali isteriku mengalir air mata kerana melihat aku `bagaikan hidup dengan komputer', lupa makan dan lupa segala-galanya kerana naskah DI SEBALIK TIRAI BESI.
Di sebalik senyuman, ada kedukaanku dalam menyiapkan naskah ini... segalanya akan luahkan dalam catatan seterusnya...
Penjara Bentong yang akan menjadi lokasi
penggambaran nanti...



Selasa, Oktober 13, 2009

DI SEBALIK TIRAI BESI

DI SEBALIK TIRAI BESI
Sebuah naskah duka tentang wanita yang menjadi mangsa lelaki, digarap dalam drma bersiri penuh dramatik.

Kerana LELAKI, seorang wanita tersungkur ke penjara demi ketaksuban cinta terhadap suami. Namun ternyata pengorbanan cintanya sia-sia apabila dia dilupakan dan terpaksa melahirkan anak di penjara.

Kerana LELAKI, seorang wanita terpenjara dalam perkahwinanya apabila dia title DIGANTUNG TAK BERTALI, berterusan menongkah arus hidup yang penuh sengsara demi membesarkan seorang anak. Namun kemanusiaan mengatasi segalanya apabila di saat nyawa tiba di halkum dia menceritakan segala-galanya pada si anak dan mengharapkan si anak mencari si ayah. Penjara menemukan mereka.

Kerana LELAKI, seorang gadis dilacurkan oleh kekasihnya sendiri...