Assalamualaikum.
Apabila membaca rakan penulis skrip membicarakan tentang nasib mereka yang sering menjadi mangsa penerbit dan juga cadangan-cadangan untuk menukar AJK SWAM, saya terpanggil untuk membicarakan soal ini dalam blog saya. Perlu saya jelaskan terlebih dahulu, apa yang saya tulis nanti adalah berdasarkan pengalaman saya sebagai penulis skrip sambilan sejak tahun 1988 dan menjadikan penulisan skrip TV sebagai kerjaya tetap saya sejak tahun 1995.
Pertama, kenapa penulis skrip menjadi mangsa penebit? Siapakah penerbit berkenaan? Bayaran yang diterima tidak setimpal, berapakah bayaran yang setimpal untuk sebuah telemovie? Drama bersiri satu jam dan drama bersiri setengah jam?
KENAPA PENULIS SKRIP MENJADI MANGSA PENERBIT?
Perkara ini sama sekali tidak sepatutnya berlaku. Sepanjang saya berurusan dengan penerbit, saya tidak pernah menandatangani kontrak antara penulis skrip dengan penerbit kecuali pada tahun 2010 apabila saya berurusan denganb EUROFINE dan SUHAN MOVIES. Itupun sekali dengan EUROFINE untuk drama bersiri 24 episod x 1 jam dan sekali dengan SUHAN MOVIES untuk drama bersiri 30 minit x 25 episod. Manakala untuk telemovie, saya tidak menandatangi apa-apa kontrak.
Pada saya perkara seumpama ini tidak harus berlaku kerana sebelum proposal diserahkan, mesti ada perjanjian di antara penulis skrip dengan penerbit walaupun secara tidak rasmi. Apabila proposal diterima oleh stesen TV dan pembentangan dilakukan di depan panel stesen TV dan diluluskan untuk skrip, sekali lagi perlu ada perbincangan di antara penulis skrip dan penerbit. Ketika ini, terpulang pada penulis skrip untuk meminta bayaran pendahuluan sebelum skrip ditulis atau sebaliknya.
Setelah skrip disiapkan, barangkali perlu memberi masa dua minggu kepada penerbit untuk mengadakan perbincangan dengan pengarah. Sekiranya tidak ada apa-apa pembetulan atau perubahan, penerbit perlu membayar harga skrip sebagaimana yang dijanjikan.
Masalahnya sekarang apa? Penerbit tidak membayar harga skrip? Penerbit lambat membuat pembayaran? Penerbit potong harga skrip?
Memang betul tanpa kontrak perkara seumpama ini akan berlaku apabila penerbit tidak jujur. Sudah semestinya penulis skrip tidak mampu berbuat apa-apa kerana skrip sudah pun berada pada tangan penerbit. Sejujurnya, perkara seumpama ini tidak pernah berlaku pada saya. Tetapi sebagai penulis skrip, jangan lupa kita masih ada SENJATA TERAKHIR untuk mengajar produser yang tidak ikhlas dan jujur.
Dalam apa penerbitan sekalipun, SURAT IZIN TERBIT adalah perlu. Sekiranya penerbit tidak melunasi bayaran skrip, ataupun tidak jujur dengan persetujuan harga skrip pada peringkat awal, JANGAN SERAHKAN SURAT IZIN TERBIT kepada penerbit. Biarkan penerbit tidak membayar harga skrip. Biarkan penerbit menjalani penggambaran skrip tersebut. Biarkan!
Setelah penggambaran hampir selesai, tulis sekeping surat kepada stesen penerbitan dan beritahu ANDA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS PENYIARAN NASKAH BERKENAAN kerana terdapat beberapa perkara yang melanggar etika ataupun tidak mendapat kelulusan daripada pemilik hakcipta karya tersebut. Jika naskah itu disiarkan juga, pemilik hakcipta akan mengambil tindakan mahkamah.
Anda tahu apa yang akan berlaku di stesen TV? Mereka tidak akan berani mengambil risiko dan mereka akan mengarahkan penerbit mendapatkan surat IZIN TERBIT. Di sinilah senjata terakhir penulis skrip. Apakah penebit mahu kerugian sebanyak RM300 ribu ataupun membayar sekadar RM30 hingga RM50 ribu untuk bayaran skrip? Tapi ingat, anda kena simpan beberapa kenyataan yang membuktikan skrip itu adalah skrip anda. Jika skrip dihantar melalui e-mail, save melalui PDF. Jika skrip dihantar dengan cara bercetak, jangan bagi yang original, fotostat skrip tersebut dan bagi yang fotostat. Yang original, anda ke pejabat pos, buat kiriman berdaftar dan poskan kepada diri anda sendiri. Jangan dibuka bungkusan tersebut selagi segala masalah tidak selesai kerana ia adalah bukti yang skrip itu adalah hak milik anda.
Untuk makluman, Suhan Movies mengamalkan sistem SURAT IZIN TERBIT. Mereka tidak akan menjalani penggambaran sesebuah skrip selagi penulis tidak berikan surat izin terbit.
Untuk makluman juga, saya pernah mengambil tindakan yang sama seperti apa yang saya cakapkan di atas, tetapi bukan membabitkan skrip, cuma kertas konsep. Saya menghantar satu konsep drama bersiri kepada sebuah penerbitan di mana penasihat dan penerbit eksekutifnya merupakan seorang pengarah tersohor. Setelah dihantar ke stesen TV, saya dimaklumkan oleh penerbit yang kertas cadangan saya ditolak. Dua bulan kemudian, saya mendapat tahu sebuah drama bersiri akan diterbitkan dan setelah saya amati, drama bersiri tersebut konsepnya sama seperti yang saya berikan pada produser berkenaan dua bulan lalu. Saya biarkan mereka shooting dan apabila dihantar ke stesen TV untuk dinilai, saya menelefon Bahagian Bekalan stesen TV berkenaan memberitahu drama tersebut ada persamaan dengan konsep saya yang dihantar ke stesen TV tersebut untuk dinilai dua bulan lepas.
Pihak stesen TV semestinya tidak berani menanggung risiko dan penerbit berkenaan terpaksa berjumpa dengan saya, bukan saya untuk memohon maaf tetapi untuk membayar berapa harga naskah saya. Bagaimanapun, sebagai manusia, saya Islam dan penerbit tersebut Islam, saya tahu dia akan kerugiaan hampir RM400 ribu, akhirnya saya redha dengan apa yang berlaku tanpa mengambil satu sen pun bayaran daripada penerbit berkenaan kerana saya rasa maruah dan harga diri saya lebih mahal daripada naskah tersebut.
SIAPA PENERBIT YANG TERBABIT?
Banyak desas-desus yang saya dengar tentang penerbit hancing. Tapi siapa? Banyak laman sosial, kenapa tidak didedahkan melalui laman sosial supaya semua penulis skrip tahu dan tidak akan berurusan dengan penerbit berkenaan. Takut? Atas alasan apa kita takut kalau betul dakwaan kita itu? Takut diboikot? Adakah kita masih hendak bekerjasama dengan penerbit hancing seperti itu? Jika semua penulis skrip tahu siapa penerbit berkenaan dan sekiranya penulis skrip ada maruah dan harga diri serta bersatu hati, saya yakin penerbit berkenaan akan menghasilkan proposal dan skrip sendiri supaya syarikatnya tetap hidup.
HARGA SKRIP
Berapa harga skrip yang setimpal? Untuk telemovie kebiasaannya saya mendengar ada penulis skrip mengambil bayaran sebanyak RM3500 hingga RM6000. Untuk skrip 1 jam antara RM1500 hingga RM2000 dan setengah jam antara RM800 - RM1000. Bergantung pada nilai skrip. Sebenarnya harga skrip tidak boleh ditetapkan. Berdasarkan pengalaman saya yang sering diminta mengolah semula sesebuah skrip, saya rasa ada layaknya skrip dibayar dengan harga yang telah dibayar. Contohnya, pernah saya terima sebuah naskah untuk dibaiki yang mana produser telah membayar harga skrip RM4000 tetapi setelah saya baca, saya rasa simpati pada produser kerana penerbit tersebut perlu mengeluar lagi kos untuk membayar saya.
Saya juga pernah menerima sebuah skrip yang dibayar oleh penerbit kepada penulis asalnya dengan harga RM2500.00. Setelah saya membaca skrip tersebut, saya terpaksa menyiapkan skrip yang tidak ada kena mengena dengan skrip berkenaan. Saya cuma mengambil konsepnya sahaja dan nilai RM2500 untuk satu konsep telemovie, saya anggap sudah berbaloi.
Barangkali maksud harga skrip tidak setimpal apabila penerbit membayar bukan dengan harga yang telah dipersetujui. Jika itu maksudnya, gunakan SURAT IZIN TERBIT sebagai senjata. Insya-Allah.
SWAM
AJK SWAM perlu diganti? Kenapa? Sejujurnya, saya tidak kenal secara rapat dengan SWAM. Sebagai penulis skrip, saya tahu kewujudan SWAM. Sejauhmana perjalanan SWAM dan apa yang dilaksanakan dan diperjuangkan oleh persatuan tersebut, saya tidak tahu kerana saya bukan ahli. Lebih-lebih lagi sepanjang saya menulis skrip, saya tidak pernah berharap dan bergantung pada SWAM. Bukan saya sombong, angkuh, riak, bongkak dan sebagainya tetapi pada saya, apalah sangat yang boleh SWAM lakukan sebagai sebuah persatuan?
Kalau SWAM nak tegaskan, semua skrip perlu diambil dari bank SWAM atau mendapat kelulusan daripada SWAM, apakah mampu SWAM meyakinkan stesen TV bahawa skrip yang dihasilkan oleh ahli-ahli SWAM itu berkualiti? Perlu diingat, hasil kreatif susah hendak dinilai.
SWAM tidak memperjuangkan nasib penulis skrip? Apa yang hendak diperjuangkan oleh SWAM? Tentang bayaran? Itu persetujuan bersama antara penulis skrip dan penerbit. Menetapkan kadar harga skrip? Ia juga bergantung kepada kualiti skrip tersebut. Adakah sama harga di antara sebuah skrip dengan skrip pengarahan? Atau apakah sama harga skrip yang dihasilkan dalam masa dua hari dengan dua minggu? Atau antara skrip cerita khayalan dengan skrip cerita berdasarkan fakta seperti Rosli Dhobi? Tentu tidak sama kan?
Kepada sesiapa yang membaca tulisan ini dan merupakan orang yang kenal dan faham dengan SWAM, tolong beritahu saya apa sebenarnya perjuangan SWAM. Saya bukan tidak menyokong hasrat teman-teman untuk mengubah SWAM dan memperjuangkan nasib penulis skrip, tapi saya perlu tahu sejelas-jelasnya apa kelemahan SWAM.
Saya juga kurang arif, penipuan sebagaimana yang dilakukan oleh penerbit kepada penulis skrip kerana bagi saya, perlu wujud budibicara dan saling bertimbangrasa di antara penulis skrip dan penerbit. Sebagai contoh, bulan lepas saya diminta oleh seorang penerbit untuk menghasilkan sebuah skrip telemovie. Perjanjian mulut di antara saya dengan penerbit - harga skrip RM6000.00 dan beliau bersetuju. Skrip yang saya hasilkan bertajuk BARAN. Setelah skrip tersebut disiapkan dan perbincangan untuk pemilihan pelakon dilakukan, masing-masing merasakan pelakon yang layak membawa watak yang saya cipta adalah EMAN MANAN, ROSYAM NOR dan NASIR BILAL KHAN. Umum mengetahui berapa kos untuk mengambil dan menggandingkan ketiga-tiga pelakon berkenaan dalam satu telemovie.
Setelah ketiga-tiga pelakon tersebut bersetuju untuk berlakon bersama dan meneliti kos yang terpaksa ditanggung oleh penerbit serta keinginan saya untuk melihat naskah ini berjaya, saya tidak malu memberitahu saya bersetuju mengambil bayaran skrip dengan harga RM4000.00. Dari segi nilai duit, saya rugi tapi setelah melihat ketiga-tiga aktor bergandingan dalam satu telemovie, saya amat puas hati.
Akhir kalam, kepada yang hendak memperjuangkan nasib penulis skrip, saya SOKONG SERATUS PERATUS walaupun saya tidak begitu arif dengan permasalahan sebenarnya yang berlaku.
Sekian, wassalam.